Teleperubatan

Perubahan mendadak akibat perkembangan teknologi antara lain turut melibatkan perubahan dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan. Pengenalan penggunaan IT dalam bidang kesihatan membawa kepada pengwujudan ‘teleperubatan’ iaitu salah satu daripada tujuh aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang menggabungkan bidang perubatan  secara langsung atau tidak langsung ke dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

 

Ia dilihat sebagai suatu bentuk jagaan kesihatan yang merentasi pengasingan geografi. Ia turut dikatakan akan banyak memberikan manfaat kepada para doktor dan penyelidik kesihatan untuk melakukan penyelidikan kerana ia dapat memudahkan proses pengumpulan dan analisa data. Hospital Putrajaya merupakan antara hospital kerajaan yang pertama mengamalkan pendekatan elektronik. Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) membolehkan proses rujukan pesakit dilakukan di mana sahaja pesakit mendapat rawatan. Ia diandaikan akan dapat mengurangkan kesesakan pesakit di hospital. Kerajaan memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk mewujudkan inisiatif ICT di hospital itu sahaja.

 

Antara aplikasi utama teleperubatan termasuk klinikal, pendidikan, pentadbiran, penyelidikan, penilaian atau pemeriksaan pesakit, diagnosis (telediagnosis) dan perundingan (telekonsultasi). Pegawai perubatan kini boleh merawat pesakit dari jauh, pemantauan boleh dilakukan dari mana saja, pentadbiran boleh dilakukan dengan telesidang, penjadualan, kepenggunaan serta penilaian kualiti kerja. Secara ringkas, pengenalan teleperubatan dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan di negara ini diandaikan akan memudahkan dan meningkatkan tahap efisien penjagaan kesihatan.

 

Namun sejauh manakah segala andaian ini menjadi kenyataan sejak kali pertama sistem ini diperkenalkan pada tahun 1997? Setakat ini, sistem ini telah diperkenalkan di 42 pusat kesihatan dan 41 pusat perundingan yang kebanyakkannya terdapat di kawasan luar bandar. Namun adakah rakyat secara keseluruhannya telah mendapat manfaat sebagaimana yang dijanjikan dari sistem yang dikatakan serba canggih ini? Faktor geografi serta aksesibiliti merupakan persoalan penting dalam melihat samada sistem ini akan berjaya dalam jangka masa panjang. Penduduk luar bandar yang kurang terdedah dengan segala kecanggihan teknologi seperti sistem teleperubatan belum pasti faham serta bersifat terbuka terhadap segala perubahan drastik ini. Jika pun benar andaian bahawa banyak pusat perubatan di luar bandar kini telah dilengkapi dengan infrastuktur serba canggih tersebut, tidak semestinya masyarakat tempatan akan terus menerima segala perubahan ini. Ini akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan perkhidamatan kesihatan yang sepatutnya dan tentu sekali membawa kepada lebih banyak masalah lain.

 

Antara kekangan lain yang wujud berkaitan sistem ini ialah berkenaan isu hak milik rekod pesakit. Terdapat kekeliruan samada rekod tersebut adalah milik pesakit atau milik hospital. Sering kali terdapat kes di mana berlaku komplikasi yang akhirnya menyukarkan lagi keadaan misalnya pesakit yang bertukar hospital dan timbul kekeliruan berkenaan hak milik rekod kesihatan pesakit tersebut. Oleh itu, rekod kesihatan elektronik adalah sesuatu yang amat penting. Ia boleh dimasukkan ke dalam sistem berasaskan web dan boleh diuruskan melalui badan kesihatan nasional supaya pemilikan tidak menjadi isu. Jika memperkatakan mengenai capaian, perkara ini amat perlu dilaksanakan secepat mungkin dan tidak dinafikan ia memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan. Kos yang besar untuk penyepaduan dan penyeragaman serta pengwujudan inisiatif ICT mengakibatkan timbul persoalan berkenaan penswastaan sektor perubatan dan penjagaan kesihatan di Malaysia.

 

Persoalan berkenaan penswastaan sektor perubatan di negara ini bukanlah perkara yang baru. Malah telah wujud pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan kepentingan rakyat biasa untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang lebih baik dan berpatutan seperti Coalition Against Health Care Privatisation. Secara logiknya, penswastaan sektor perubatan sememangnya akan membawa kesukaran terhadap rakyat biasa yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Sekali lagi golongan yang tidak berkemampuan akan terus ditindas dan kali ini melalui aspek penjagaan kesihatan. Bayangkan jika pesakit yang amat memerlukan pembedahan segera demi menyelamatkan nyawa terpaksa menunggu sehingga mampu untuk membayar kesemua kos yang diperlukan… Kerajaan sanggup dan mampu membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membangunkan insfrastruktur yang canggih demi melaksanakan teleperubatan di negara ini, tetapi mengapa rakyat harus dibiarkan menanggung beban kewangan sedangkan segala inisiatif kerajaan ini adalah untuk rakyat?  Oleh itu, adalah amat penting segala usul berkenaan penswastaan sektor perubatan dan penjagaan kesihatan dikaji sepenuhnya dan mengambilkira semua pihak, terutama rakyat yang tidak perkemampuan sebelum menjadikan ia sesuatu yang memudaratkan semua pihak.

~ by blueandwhitecollars on September 19, 2008.

3 Responses to “Teleperubatan”

  1. MANA ADA SEMUA DAH SELESAI….saya masih rasa hospital sesak dengan pesakit..minggu lepas saya terpaksa tunggu selama dua jam di hospital putrajaya untuk tunggu giliran saya..

  2. Saya setuju dengan Encik Shah sebab semasa saya berada di Hospital Putrajaya saya rasa cara layanan serta rawatan masih sama sahaja..prosedur masih terlampau birokratik..

  3. 3 perenggan awal artikel ini merujuk kepada ‘andaian-andaian’ awal berkenaan isu ini. andaian-andain ini tidak semestinya tepat jika dilihat pada realiti semasa. ini yang cuba disampaikan dalam artikel ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: